Thursday, October 2, 2014

Hazzirah Izzati Pelajar Paling Muda dianugerahkan PhD UTM

Hazzirah Izzati Mat Hassim
Hazzirah Izzati Mat Hassim dilahirkan pada 18 Mei 1990 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan anak kedua daripada 8 orang adik beradik, anak kepada pasangan Mat Hassim bin Daud, seorang Penolong Pegawai Perubatan di Unit Kecemasan, Hospital Tumpat, Kelantan dan Martinawati bt. Salleh, seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 1.
Hazzirah memulakan pengajian peringkat awal di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian (1) pada tahun 1997. Pada tahun 1999, beliau menduduki peperiksaan Penilaian Tahap Satu (PTS) yang membolehkannya melangkau ke Tahun 5 pada usia 10 tahun. Kelulusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) telah melayakkannya untuk diterima masuk bagi meneruskan pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai pada tahun 2002 selama 3 tahun. Selepas tamat Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dengan keputusan 8A, beliau memohon untuk ke MRSM Bitara Pengkalan Chepa bagi meneruskan pengajian tingkatan 4 dan 5. Peluang belajar di MRSM Bitara Pengkalan Chepa dimanfaatkan sepenuhnya sehingga ditawarkan untuk turut serta dalam Program Ekspress UTM-MARA di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru : sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2006 dalam usia 16 tahun. Pemilihan pelajar untuk mengikuti program ini adalah berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan SPM. Beliau kemudiannya mengikuti Program Persediaan Pra-Ijazah selama enam (6) bulan di UTM Johor Bahru bermula Januari 2007 hingga Jun 2007. Berdasarkan keputusan SPM (7A1, 3A2) dan keputusan peperiksaan akhir Program Ekspress UTM-MARA beliau berjaya untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan mendapat pinjaman boleh ubah dari MARA.
Selepas tiga (3) tahun mengharungi pengajian, beliau berjaya menamatkan pengajian dan bergraduasi pada Oktober 2010 dan telah dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Kepujian Kelas Pertama dalam usia 20 tahun. Ekoran daripada itu, pihak MARA telah menukarkan pinjaman boleh ubah kepada biasiswa penuh. Beliau kemudiannya ditawarkan pula oleh UTM untuk melanjutkan pengajian terus ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) di bawah program Ph.D Fast Track UTM. Beliau menerima tawaran dan memilih untuk menjalankan kajian dalam bidang Matematik Tulen di Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, UTM Johor Bahru dan menerima biasiswa MyPhD yang ditawarkan oleh pihak KPT.  Beliau menerima tawaran dan memilih untuk menjalankan kajian dalam bidang Matematik Tulen di Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, UTM Johor Bahru dan menerima biasiswa MyPhD yang ditawarkan oleh pihak KPT.

Semoga Hazzirah Izzati terus cemerlang dan menyumbang yang terbaik kepada agama, bangsa dan negara.

sumber http://www.news.utm.my/2014/09/tahniah-hazzirah-izzati-pelajar-paling-muda-dianugerahkan-phd-utm/

No comments: