1.
Keutamaan Sahur Dan Mentakhirkannya Selama Tidak Khuatir Akan Terbitnya Fajar
Dari
Anas radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Bersahurlah kamu
sekalian kerana sesungguhnya di dalam sahur itu terdapat barakah.”
(HR Bukhari & Muslim)
2.
Segera Berbuka Puasa Apabila Sudah Masuk Waktu Berbuka
Dari
Sahl bin Sa’d radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
bersabda: “Manusia itu
selalu dalam kebaikan selama mereka segera berbuka puasa.”
(HR Bukhari & Muslim)
3.
Berdo’a sepanjang berpuasa dan ketika berbuka.
Diriwayatkan
oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam bersabda: “Ada 3 golongan
yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka,
pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”
4.
Menjauhi perkara-perkara yang bertentangan dengan ibadah puasa.
Dari
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam
bersabda: “Puasa itu adalah
perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian
berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak.
Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah
ia berkata: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa””.
(HR Bukhari & Muslim)
5.
Bersiwak atau menggosok gigi.
Amir
bin Rabi’ah berkata, “Saya melihat Nabi
sallAllahu ‘alaihi wasallam bersiwak dan beliau pada saat itu sedang berpuasa.
Kerana seringnya, maka saya tidak dapat membilang dan menghitungnya.”
(HR Bukhari)
6.
Bermurah hati dan banyak menderma.
Dari
Ibnu Abbas radhiAllahu ‘anhu katanya: “Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat
dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui
Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan,
dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (HR
Bukhari)
7.
Menggandakan amalan membaca dan mempelajari al-Quran.
(Hadith Ibnu
Abbas di atas menyatakan bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
bertadarus (mempelajari al-Quran) dengan Jibril pada setiap malam Ramadhan.)
Membaca
al-Quran adalah amalan biasa ummat Islam, tetapi sempena bulan Ramadhan,
hendaklah kita tumpukan betul-betul dan menggandakannya. Para ulama
apabila tibanya bulan Ramadhan akan memberhentikan kuliah yang diajar mereka
dan menumpukan kepada mempelajari al-Quran. Membaca untuk memahami
al-Quran yakni mentadabbur al-Quran adalah lebih utama dari membaca laju untuk
mengkhatamkannya beberapa kali pada bulan Ramadhan.
8.
Memberi makan untuk berbuka puasa.
Dari
Zaid bin Khalid Al-Juhanny radhiaAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu
‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang
memberi makan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka ia mendapat pahala
seperti pahala orang yang berpuasa itu dengan tidak mengurangi sedikit pun
pahala orang yang berpuasa itu.” (HR At Turmudzy)
9.
Mendirikan malam dengan solat sunnat (solat Tarawih)
Dari
Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
telah bersabda: “Barangsiapa yang
mengerjakan solat sunnat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan
hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah
lalu.” (HR Bukhari & Muslim)
10.
Giat beribadah pada 10 hari terakhir Ramadhan
Aisyah
radhiAllahu ‘anha berkata: “Bahawa Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila masuk sepuluh terakhir bulan Ramadhan.
diramaikannya waktu malam, dibangunkannya ahli keluarganya dan diikat erat kain
sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)
11.
Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan.
Dari
Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu berkata: “Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan
Ramadhan.” (HR Bukhari & Muslim)
sumber: https://albakriah.wordpress.com/2012/07/20/11-amalan-terbaik-sepanjang-ramadhan/