Wednesday, December 30, 2009

Selamat Kembali Ke Sekolah

JKD mengucapkan Selamat Kembali Ke Sekolah buat semua pelajar dan guru Sains Pertanian dan MPV daerah Pontian. Semoga tahun 2010 akan memberi kecemerlangan yang lebih baik dan bermakna kepada semua.
JKD juga mengucapkan selamat datang kepada guru MPV SMK Parit Betak kerana akan mula menawarkan MPV Reka Jahitan Pakaian pada 2010.
Mesyuarat pertama JKD tahun 2010 akan dimaklumkan melalui surat kelak.

Tuesday, September 8, 2009

PETUA MENGHADAPI PEPERIKSAAN 3 DAN 4

Sambungan petua menghadapi peperiksaan yang seterusnya.
3. Pemakanan berkhasiat dan seimbang
Elak mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafein (seperti kopi) kerana anda mungkin akan sukar tidur dan hilang tumpuan.
4. Kawal emosi
Elak terbabit dalam sebarang konflik yang boleh menggugat ketenangan emosi di saat anda akan menduduki peperiksaan. Jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan ketika menjawab soalan kelak.

Wednesday, September 2, 2009

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2009

Semua sekolah menengah di Daerah Pontian menjalankan Peperiksaan Percubaan SPM 2009 bermula 2hb September sehingga 18hb September 2009. JKD ingin mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan dan semoga akan mencapai kecemerlangan dalam semua matapelajaran terutamanya Sains Pertanian (3528).
JKD ingin berkongsi 2 dari 10 petua menghadapai peperiksaan :
1. Banyakkan berdoa dan bersolat
Sebagai makhluk yang lemah, kita memang tidak dapat lari daripada berdoa kepada Allah s.w.t. Sebagai seorang Islam, anda perlu memper banyakkan solat hajat, tahajud dan berdoa memohon bantuan-Nya. Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, pohon keampunan dan keredaan daripada ibu bapa dan guru.
2· Jangan panik
Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa 50% apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri, anda boleh menjawabnya.
Selamat Berjaya.

Friday, August 21, 2009

SELAMAT BERPUASA, SELAMAT BERCUTI


JKD mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan 1430H dan selamat melaksanakan ibadat puasa kepada semua guru dan pelajar muslim daerah Pontian. Kami mendoakan semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari ramadhan yang telah lalu dari segi kesihatan, amalan baik dan sebagainya.

Sekolah mula bercuti pada hari Sabtu (22hb Ogos 2009) sehingga hari Selasa (2hb September 2009), selama 10 hari. Kami mengharapkan kepada semua pelajar agar dapat menggunakan masa yang amat berharga ini sebaik-baiknya dengan membuat ulangkaji terutama kepada pelajar yang akan menghadapi SPM pada bulan November ini. Elakkan dari melibatkan diri dengan sebarang aktiviti kurang berfaedah.

JKD sentiasa mendoakan semoga semua guru dan pelajar dikurniakan kesihatan dan kesempatan untuk melipatgandakan usaha bagi mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat.

Selamat Berpuasa dan Selamat Bercuti.

Friday, August 7, 2009

MESYUARAT JURULATIH UTAMA SAINS PERTANIAN NEGERI JOHOR DAN MESYUARAT PEMBINAAN ITEM GERAK GEMPUR SERTA PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM 2009

Pontian, Mesyuarat JU Sains Pertanian Negeri Johor akan diadakan pada 7hb Ogos 2009 (Jumaat) jam 3.30 petang di Kamar Kencana, SMK Telok Kerang Pontian. Mesyuarat membincangkan aktiviti-aktiviti khusus yang akan diadakan bagi meningkatkan kecemerlangan mata pelajaran Sains Pertanian SPM 2009. Aktiviti yang akan dibincangkan termasuk Program Kecemerlangan SPM 2009, Program Tuju A, Gerak Gempur dan Peperiksaan Percubaan SPM setara peringkat Negeri.
Mesyuarat pembinaan item bagi program Gerak Gempur dan Peperiksaan Percubaan SPM 2009 diadakan pada 8hb Ogos 2009 (Sabtu) jam 8.00 pagi juga ditempat yang sama. Beberapa set soalan Gerak Gempur akan disediakan bagi memahirkan pelajar menjawab dengan menggunakan kaedah yang betul.

JKD Sains Pertanian dan MPV Daerah Pontian mengucapkan Selamat Datang dan Selamat bermesyuarat kepada semua JU dan wakil Jabatan Pelajaran Negeri Johor.

Monday, July 6, 2009

PENATARAAN SKOR PBS SAINS PERTANIAN SPM 2009

Penataraan Skor Pentaksiran Berasaskan Sekolah matapelajaran Sains Pertanian Kali Ke-2 bagi calon SPM 2009 Daerah Pontian akan diadakan seperti ketetapan di bawah :
1. Pentaksir Kawasan : En. Abd Rahman bin Salleh
Sekolah ditaksir SMK Parit Betak pada 22hb Julai 2009 dan SMK Telok Kerang pada 23hb Julai 2009.
2. Pentaksir Kawasan : En. Nordin bin Ehsan
Sekolah ditaksir SMK Sri Kukup pada 22hb Julai 2009 dan SMK Dato' Mohd Yunus Sulaiman pada 23hb Julai 2009.
Masa pemantauan sekitar jam 10.00 pagi pada tarikh yang telah ditetapkan di atas. Semua pentaksir sekolah diharap dapat bersedia dengan dokumen dan eviden berkaitan agar penataraan skor dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.

Thursday, May 28, 2009

LAWATAN KE PAMERAN BULAN TEKNOLOGI PERTANIAN 2009


Kluang, JKD Sains Pertanian dan MPV Daerah Pontian dengan kerjasama Unit Pendidikan Teknik dan Vokasional PPD Pontian telah mengadakan program lawatan sambil belajar ke Pameran Bulan Teknologi Pertanian pada 26hb Mei 2009 yang diadakan di Pusat Penyelidikan MARDI di Kluang. Program lawatan yang sepatutnya melibatkan semua guru Sains Pertanian dan MPV daerah ini tidak dapat dilaksanakan seperti dirancang kerana masalah pengangkutan yang timbul disaat-saat akhir program. Walaubagaimanapun, program tersebut terus dilaksanakan dengan menggunakan beberapa kenderaan guru dan bantuan sebuah van dari SMK Sri Kukup. JKD Sains Pertanian dan MPV memohon maaf atas kesulitan yang timbul.

Pameran Bulan Teknologi Pertanian yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian, YB Dato Noh Omar tersebut mempamerkan pelbagai maklumat, teknologi terkini, tunjukcara pembiakbakaan ternakan, mekanisasi ladang, jualan produk, jualan input ladang dan sebagainya. Pameran yang melibatkan kerjasama banyak agensi kerajaan dan swasta, serta pengusaha industri kecil sederhana (IKS) tersebut diadakan selama dua hari iaitu pada 26 dan 27hb Mei 2009. Guru-guru serta pelajar yang berminat dijemput menghadirinya.
JKD Sains Pertanian dan MPV mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama PPDTV, En. Selamat Mon, SMK Sri Kukup dan guru-guru terlibat yang sanggup berkongsi kenderaan bersama rakan-rakan dan bagi menjayakan program tersebut.

Wednesday, May 20, 2009

MESYUARAT JKD SAINS PERTANIAN NEGERI JOHOR 01/2009

Batu Pahat. Mesyuarat JKD Sains Pertanian Negeri Johor kali pertama tahun 2009 telah diadakan di SMK Dato' Seth Yong Peng, Batu Pahat pada 19hb Mei 2009 jam 8.30 pagi. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh En. Sujak bin Maskan (Ketua Unit Teknik dan Vokasional Jabatan Pelajaran Negeri Johor) dan dihadiri oleh semua PPD Teknik dan Vokasional, semua Pengerusi dan Setiausaha JKD Sains Pertanian serta guru sekolah yang mencapai keputusan Mata pelajaran Sains Pertanian terbaik setiap daerah Negeri Johor.
Pembentangan "post-mortem" keputusan SPM 2008 dibuat oleh guru yang mencapai keputusan terbaik bagi setiap daerah bagi tujuan perkongsian ilmu dan pengalaman bagi meningkatkan pencapaian keputusan peperiksaan akan datang.
JKD Sains Partanian Daerah Pontian mengucapkan tahniah kepada Tn. Hj. Mumazaini dari SMK Ayer Baloi yang telah mencapai keputusan terbaik dalam daerah Pontian bagi mata pelajaran Sains Pertanian dalam SPM 2008.

Thursday, May 14, 2009

MESYUARAT JKD MATA PELAJARAN VOKASIONAL NEGERI JOHOR 01/2009

Kota Tinggi. Mesyuarat JKD Mata Pelajaran Vokasional Negeri Johor kali pertama tahun 2009 telah diadakan di Dewan Sri Warisan, Kota Tinggi Johor pada 13hb Mei 2009 jam 8.30 pagi. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh En. Sujak bin Maskan (Ketua Unit Pendidikan Teknik Vokasional, Jabatan Pelajaran Negeri Johor).
Dalam mesyuarat tersebut, Setiausaha JKD Mata Pelajaran Vokasional setiap daerah atau guru yang mengajar mata pelajaran vokasional yang mencapai keputusan terbaik telah membentangkan post mortem keputusan SPM 2008. Ia bertujuan untuk berkongsi maklumat dan strategi kejayaan sekolah terbabit.
Pengerusi dan Setiausaha JKD Sains Pertanian dan MPV Daerah Pontian (SMK Telok Kerang) telah hadir ke mesyuarat tersebut untuk membentangkan post mortem SPM 2008. PPD Unit Teknik dan Vokasional Daerah Pontian, En. Selamat bin Mon turut hadir.
JKD Sains Pertanian dan MPV Daerah Pontian mengucapkan tahniah kepada sekolah yang mendapat tempat pertama dalan negeri Johor iaitu :
1. SMK Telok Kerang (MPV Landskap dan Nurseri)
2. SMK Sri Kukup (MPV Akuakultur dan Haiwan Rekreasi)
3. SMK Sri Tanjung (MPV Produksi Multimedia)

Wednesday, May 6, 2009

PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN 2009

Soalan peperiksaan pertengahan tahun bagi mata pelajaran Sains Pertanian Pertengahan tahun 2009 tingkatan 5 telah diedar kepada setiap sekolah yang menawarkan matapelajaran tersebut. Dua buah sekolah iaitu SMK Ayer Baloi dan SMK Sri Tanjung yang tidak menawarkan mata pelajaran tersebut kepada pelajar tingkatan 5 tahun 2009 terkecuali dalam edaran ini. Guru yang memerlukan "softcopy" soalan tersebut diharap dapat menghubungi nordinehsan_69@yahoo.com untuk mendapatkannya. Selamat menghadapi peperiksaan.

Tuesday, May 5, 2009

PENATARAAN KERJA KURSUS SAINS PERTANIAN SPM 2009 NEGERI JOHOR

Pontian. Penataraan Kerja Kursus Sains Pertanian Kali Pertama bagi calon SPM 2009 Negeri Johor akan diadakan seperti ketetapan di bawah :
Pentaksir Kawasan : En. Abd Rahman bin Salleh
Sekolah ditaksir SMK Parit Betak pada 20hb Mei 2009 dan SMK Telok Kerang pada 21hb Mei 2009.
Pentaksir Kawasan : En. Nordin bin Ehsan
Sekolah ditaksir SMK Sri Kukup pada 20hb Mei 2009 dan SMK Dato' Mohd Yunus Sulaiman pada 21hb Mei 2009.
Masa pemantauan sekitar jam 2.00 petang pada tarikh yang telah ditetapkan di atas.
Semua pentaksir sekolah diharap dapat bersedia dengan dokumen dan eviden berkaitan agar pentaksiran dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.

Monday, April 13, 2009

TARIKH PENATARAAN KERJA KURSUS SAINS PERTANIAN DAERAH PONTIAN


Taklimat Penataraan Kerja Kursus Sains Pertanian Daerah Pontian yang telah diadakan pada 7hb April 2009 telah memutuskan tarikh penataraan kali pertama bagi sekolah-sekolah daerah Pontian adalah seperti di bawah:
1. SMK Parit Betak (27hb April 2009)
2. SMK Sri Tanjung (27hb April 2009)
3. SMK Sri Kukup (28hb April 2009)
4. SMK Telok Kerang (28hb April 2009)
5. SMK Ayer Baloi (29hb April 2009)
6. SMK Dato Mohamad Yunus Sulaiman (30hb April 2009)
Kepada guru yang terlibat diharap dapat bersedia dengan dokumen dan eviden yang dikehendaki.

Thursday, March 5, 2009

SAMBUTAN HARI LANDSKAP NEGARA & FESTIVAL TAMAN MALAYSIA JOHOR 2009

Skudai, Sempena Hari Landskap 2009, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta telah menganjurkan Sambutan Hari Landskap Negara & Festival Taman Malaysia Johor 2009 yang diadakan di Hutan Bandar MPJBT Mutiara Rini Skudai. Sambutan berlangsung selama 8 hari iaitu bermula 1hb Mac hingga 8hb Mac 2009. Pelbagai acara diadakan seperti kempen menanam pokok, J-robik, persembahan artis dan kebudayaan, jualan produk serta input pertanian dan landskap, pertandingan mewarna dan banyak lagi. Setiap Pihak Berkuasa Tempatan Daerah turut mempamerkan taman beridentitikan daerah masing-masing termasuk Pontian. Guru-guru dan pelajar yang berminat bolehlah meluangkan masa untuk melawat acara tersebut.

Wednesday, February 18, 2009

TAKLIMAT PENATARAN KERJA KURSUS SAINS PERTANIAN TINGKATAN 4 DAN 5 TAHUN 2009

Taklimat Penataran Kerja Kursus Sains Pertanian Tingkatan 4 dan 5 Tahun 2009 akan diadakan seperti ketetapan di bawah :

Tarikh : 7hb April 2009
Hari : Selasa
Tempat: Bilik Mesyuarat, SMK Telok Kerang.

Guru (Pentaksir Sekolah) yang terbabit diminta bersedia untuk taklimat tersebut. Maklumat terperinci sila rujuk surat rasmi Pejabat Pelajaran Daerah Pontian, bernombor PPDPN/UPA/2/439/6 Jld 2 (03).

MESYUARAT JAWATANKUASA PORTAL PENDIDIKAN DAN E-LEARNING DAERAH PONTIAN 2009

Unit Teknik dan Vokasional, Pejabat Pelajaran Daerah Pontian telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Portal Pendidikan dan e-Learning Daerah Pontian pada 17hb Februari 2009 (Selasa) di SMK Ayer Baloi. Ahli mesyuarat tersebut telah membentuk Jawatankuasa Induk Portal Pendidikan dan e-Learning, Unit Teknik dan Vokasional serta merancang beberapa pelan tindakan bagi tahun 2009. Antara sasaran Jawatankuasa Induk ialah menyiap dan menyelenggara semua portal berkaitan Teknik dan Vokasional Daerah Pontian sebelum dibuat pautan ke laman web Pejabat Pelajaran Daerah Pontian agar manfaatnya dapat dikongsi dengan lebih ramai pengguna terutama guru dan pelajar.

Friday, February 13, 2009

PEMANTAUAN PBS SAINS PERTANIAN DAN MPV



Pemantauan PBS Sains Pertanian dan MPV peringkat Daerah Pontian akan bermula pada 23hb Mac 2009 dan dijadualkan tamat pada bulan April 2009. Pemantauan akan dilakukan oleh Pentaksir Kawasan yang dilantik oleh Pejabat Pelajaran Daerah Pontian. Pemantuan kali pertama ini lebih menumpukan kepada PBS bagi pelajar tingkatan 1, 2 dan 4. PPD Unit Teknik dan Vokasional akan mengedarkan maklumat terperinci berkaitan jadual pemantauan dan maklumat berkaitan dalam masa terdekat. Diharap semua guru (pentaksir sekolah) yang terlibat dapat bersedia untuk pemantauan ini.

Tuesday, February 3, 2009

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

JKD Sains Pertanian dan MPV Daerah Pontian Mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua guru dan pelajar Sains Pertanian dan MPV daerah Pontian.
Mudah-Mudahan tahun 2009 akan memberi lebih kejayaan pada guru dan pelajar. JKD akan merancang dan melaksana beberapa program bagi menghadapi SPM2009, selain daripada aktiviti-aktiviti pertandingan yang dianjurkan diperingkat Negeri dan Kebangsaan.